Minggu ini saya memilih untuk berbahasa Melayu dalam blog kerana saya mahu menekankan bahawa kemahiran berkomunikasi bukanlah eksklusif melalui saluran Bahasa Inggeris semata-mata. Melalui perkhidmatan saya, saya memilih untuk menerangkan penggunaan nahu Bahasa Inggeris kerana saya percaya kemahiran berbahasa Inggeris membolehkan ilmu seseorang pergi lebih jauh di persada antarabangsa. Atas sebab itulah, saya mengelolakan perkhidmatan bantuan untuk golongan professional berkenaan masalah berbahasa Inggeris melalui aplikasi Whatsapp. Perkhidmatan bantuan segera ini dinamakan The Grammar Helpline dan telah mula beroperasi sejak Ogos 2018.
Hasil dari sesi soal jawab dan pembetulan penggunaan nahu pelanggan The Grammar Helpline, saya mula melihat dan faham kekangan yang berlaku dalam pemahaman nahu Bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat Malaysia. Ilmu yang saya dapati tidaklah berguna kepada siapa-siapa sekiranya saya simpan dalam benak fikiran saya seorang, maka saya mengarang sebuah buku yang berjudul The Janitor’s Elysium – Grammar Errors Begone! yang sedikit sebanyak dapat membantu pemahaman nahu Bahasa Inggeris bagi rakyat Malaysia.
The Janitor’s Elysium merupakan kisah seorang mahasiswa (Azmi) yang acapkali kecewa selepas menghadiri sesi temu duga kerana penguasaan Bahasa Inggerisnya yang lemah. Seorang pencuci bangunan yang kebetulan berada berhampiran dengan Azmi mengajaknya ke suatu tempat yang boleh memperbaiki penguasaan Bahasa Inggerisnya. Lalu pencuci itu membawa Azmi ke sebuah perpustakaan untuk memperkenalkan Azmi dengan buku-buku yang elok dibaca oleh warga muda untuk membina kehidupan yang tenang, bermaruah dan berjaya. Sambil itu, pencuci itu turut mengajar Azmi tentang nahu Bahasa Inggeris ketika membetulkan penggunaan nahunya melalui perbualan mereka. Pencuci itu bukan sahaja membetulkan nahu, malah dia turut menerangkan sebab musabab berlaku salah faham berkaitan dengan ralat nahu Bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat Malaysia. The Janitor’s Elysium banyak menyelit unsur-unsur yang menyuntik motivasi, sesuai untuk pembacaan warga muda dalam membina generasi yang berdikari dan berupaya mencipta peluang sendiri melalui penyebaran ilmu bermodalkan penguasaan kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.
Secara amnya, The Janitor’s Elysium menyingkap salah satu penyelesaian kepada masalah pengangguran selain memberi pengetahuan berkenaan nahu Bahasa Inggeris secara bersahaja dan ringkas. Selain itu, ada saluran terbuka untuk bertanyakan soalan kepada saya (maklumat tertera di halaman belakang buku The Janitor’s Elysium). Saya amat berbesar hati untuk menjawab apa-apa keraguan anda berkaitan nahu Bahasa Inggeris, saya menganggap ia pembelajaran buat saya juga – percayalah, bertanya soalan itu suatu hubungan yang simbiotik!
Mungkin saya mempunyai perspektif begitu kerana saya bukanlah graduan aliran sastera, malah saya seorang graduan Teknologi Maklumat yang telah berkhidmat dalam dunia korporat selama lebih sedekad, juga dalam bidang Teknologi Maklumat. Maka wajarlah di sini, saya memberitakan yang pembetulan nahu yang saya lakukan disalurkan untuk penghasilan algoritma mesin pembelajaran (jangan ketawa dengan terma-terma itu ya, saya juga belajar Teknologi Malklumat dalam Bahasa Melayu!) untuk penghasilan aplikasi saya yang InsyaAllah akan dilangsungkan pada tahun 2020. Tarikh dan bulan bila dalam tahun 2020 belumlah dapat saya pastikan.
Permintaan saya kepada para pembaca sekalian adalah untuk memberi peluang kepada saya untuk mempelajari dari anda semua. Baik dari segi soalan anda berkaitan nahu Bahasa Inggeris, mahupun mempersoalkan ajaran saya berkaitan nahu Bahasa Inggeris, ataupun komen positif dan negatif untuk penambahbaikan blog/buku/perkhidmatan saya – semuanya saya terima dengan hati yang terbuka. Anggaplah saya seorang pembantu di sisi anda, dan bukanlah pencari kesalahan (nahu) di hadapan anda.
Sekiranya permintaan itu terlalu besar, saya tetap berbesar hati sekiranya anda sudi melanggan emel mingguan saya, The Baini Weekly Email, secara percuma di sini. Saya menghantar emel berkaitan tips pembelajaran Bahasa Inggeris, ringkasan buku-buku yang bermanfaat dan tawaran-tawaran perkhidmatan yang tidak saya kongsikan melalui saluran lain. Elok juga saya kongsikan di sini yang saya, bersama-sama dengan beberapa pelanggan The Baini Weekly Email telah bersua muka untuk makan tengah hari dan minum petang di D’Pulze, Cyberjaya pada minggu lepas. Sehingga kini saya tidak pasti apa persamaan antara kami semua yang membuatkan kami boleh duduk semeja lebih 4 jam walaupun kali pertama berjumpa!
Itulah yang saya katakan sebagai hubungan yang saling mempelajari. Hubungan yang simbiotik. Hidup ini penuh dengan kisah panca roba, tidak ada yang terkecuali. Tetapi, kita boleh memilih untuk melihat panca roba kita sebagai sesuatu yang menguatkan kita ataupun sesuatu yang melemahkan kita. Pilihan itu dalam tangan kita semua.
Sehingga sini sahaja nukilan saya buat kali ini, diharap tujuan buku The Janitor’s Elysium – Grammar Erros Begone! lebih jelas dan dapat memanfaatkan ramai. Saya cuma seorang yang bertutur menggunakan Bahasa Melayu di rumah dari kecil (saya juga bertutur Bahasa Melayu dengan anak-anak saya) yang mendapat pendedahan awal kepada Bahasa Inggeris dan terpaksa menghadapi kekangan bahasa pada usia yang lebih muda akibat keluarga yang kerap berpindah semenjak saya kecil. Pengalaman yang dikurnikan ini tidak dapat dipanjangkan untuk kebaikan orang lain sekiranya hati saya tidak dibuka untuk mengarang The Janitor’s Elysium – Grammar Errors Begone!
Sekiranya anda mempunyai apa-apa soalan atau komen, sila nyatakan di ruang Comment di bawah. Saya akan membaca dan membalas. Juga sekiranya anda seorang pelanggan The Grammar Helpline, anda boleh membalas emel saya dengan soalan atau komen anda. Sekali lagi, terima kasih kerana membaca sehingga ke hujung blog ini dan terima kasih atas sokongan anda!